Pasukan Selangor muncul juara bola sepak Piala Agong selepas menewaskan Pahang 3-0 pada aksi menarik di Stadium Hang Tuah petang Sabtu.

Gol-gol skuad Merah Kuning dijaringkan Mohd Faris Hafiz (m-8), Danish Asyraf Mohd Noor Azli (m-64) dan Iqbal Hazim Radzi m-87 untuk mengesahkan kejuaraan menewaskan juara bertahan Piala Emas Raja-Raja musim lalu terbabit.

Selangor yang banyak menguasai permainan cuba ditentang hebat lawan namun corak pantas yang dicipta skuad Lembah Kelang itu gagal dikekang Pahang sekali gus selaku juara mereka membawa pulang RM10,000 sementara skuad Tok Gajah tetap ceria meraih RM5,000 sebagai sagu hati.

Dua pasukan terbabit berentap sempena pembukaan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-102 berlangsung di bandaraya Melaka bermula Isnin ini sehingga 27 Oktober depan.

Piala Agong 2024 dimenangi oleh pasukan Selangor. 

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam menyempurnakan majlis pelancaran dan pembukaan piala berkenaan serta turut menyampaikan hadiah kemenangan kepada kedua-dua pasukan. Sepanjang kejohanan terbabit Pahang berada dalam Kumpulan D bersama Bomba, Kelantan dan Pulau Pinang.

Sebanyak 16 pasukan bakal bersaing termasuk Melaka dalam Kumpulan A bersama Kuala Lumpur, Perak dan Perlis sementara Kumpulan B membabitkan Selangor, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan , diikuti Kumpulan C diwakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Akademi Mokhtar Dahari (AMD), PDRM dan SPRM.

Selain Stadium Hang Tuah venue lain membabitkan Padang SMK Tun Tuah manakala kumpulan B di Stadium Tun Fatimah dan Henry Gurney selain Dragor Bukit Katil dan Wisma MAFA (Kumpulan C).

Kumpulan D pula di Kompleks Rakan Muda Lendu dan UiTM Alor Gajah sementara sesi latihan di Wisma MAFA. Penganjur juga menyediakan venue simpanan di Universiti Multimedia (MMU) dan UiTM Jasin.