KEMUNGKINAN besar lawan Selangor FC di peringkat separuh akhir Piala FA adalah bertemu Johor Darul Ta’zim yang merupakan juara bertahan edisi musim lepas.

Namun, jurulatih Gergasi Merah Tan Cheng Hoe mahu mengambil pendekatan memberi tumpuan kepada kejayaan layak fasa empat pasukan terbaik terlebih dahulu.

“Yang pentingnya kita dah berjaya layak ke separuh akhir dan kita lihat mana-mana pasukan yang layak ke peringkat ini, kita akan bersedia.

“Ia merupakan satu motivasi untuk kita juga. Paling penting persediaan pasukan dalam perlawanan Liga Super kerana separuh akhir Piala FA akan bermain dalam bulan Jun nanti,” katanya diminta mengulas besar kemungkinan menghadapi JDT dalam saingan separuh akhir.

Keputusan aksi suku akhir antara Harimau Selatan dan Penang FC hanya boleh diketahui pada Ahad malam di Stadium Sultan Ibrahim.

Bekas jurulatih kebangsaan itu juga ditanya mengenai prestasi aksi suku akhir menentang Negeri Sembilan, selepas menang mudah 3-1 ke atas bekas juara dua kali pertandingan ini di Paroi pada Sabtu.

Bagaimanapun, Selangor dikejutkan gol seawal 50 saat tuan rumah sebelum mempamerkan perwatakan meyakinan terutamanya di babak kedua.

Komitmen kesebelasan utama dan pemain simpanan yang diturunkan mendapat reaksi puas hati Cheng Hoe.

“Agak sengit untuk kita disebabkan bolos awal minit pertama, jaringan pertama yang sama sekali menjejaskan kelancaran pasukan.

“Tapi mentaliti setiap pemain cukup komited. Mereka pamerkan sikap yang terpuji dari segi bermain sebagai satu unit pasukan yang cukup mustahak perlawanan malam ini.

“Nampak positif selepas bolos jaringan pertama tapi kami cepat menyamakan kedudukan selang dua tiga minit. Ini dah bagi keyakinan dan sudah tentu pertukaran pemain menambah kelancaran pasukan Selangor,” katanya.

Dalam pertembungan itu, Nor Hakim Hassan, Ahmad Khuzaimi Piee dan Aliff Haiqal Lau telah dibawa masuk manakala Yohandry Orozco dipilih pemain terbaik perlawanan.