SELANGOR FC membuktikan mereka sememangnya mahu layak ke kejohanan AFC tahun hadapan apabila berjaya membenam cabaran Perak FC 4-0 sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.

Meskipun berehat sepanjang 56 hari dan tanpa perlawanan kompetitif, pemain-pemain kendalian Tan Cheng Hoe kelihatan tidak kaku sebaliknya beraksi dengan penuh bertenaga terutama mereka yang dipanggil ke kem latihan pusat kebangsaan.

Hasilnya, Gergasi Merah hanya memerlukan tiga minit sahaja untuk dihadapan menerusi jaringan Sharul Nazeem yang menanduk masuk sepakan sudut Yohandry Orozco untuk permulaan permainan yang baik.

Walaupun tidak diturunkan dalam skuad Harimau Malaya, latihan intensiti yang diamalkan Kim Pan-gon nyata memberikan kelebihan buat para pemain Selangor yang kelihatan lebih selesa beraksi berbanding pemain Perak.

Berselang 30 minit, seorang lagi pemain dalam skuad kebangsaan, Mukhairi Akmal menceriakan lebih 9,000 penyokong yang hadir dengan gol kedua Selangor untuk selesa mengakhiri babak pertama dengan kedudukan 2-0.

Selangor meneruskan rentak permainan menyerang pada babak kedua dengan percubaan Ayron Del Valle sekadar terkena tiang dan tandukan Orozco pula berjaya diselamatkan penjaga gol Perak. T. Shaheeswaran.

Skuad The Bos Gaurus juga sesekali melancarkan serangan menerusi Seo Seonung dan Luciano Guaychochea tetapi dihampakan ketumpulan penyudah dan kekebalan benteng pertahanan Selangor yang diketuai Safwan Baharudin.

Yohandry Orozco sendiri akhirnya mencatatkan nama dalam senarai penjaring apabila merembat kencang gol ketiga selepas menerima umpanan cantik daripada sebelah kanan untuk Selangor selesa berkelebihan tiga gol.

Berbaki 10 minit perlawanan, Ayron Del Valle menambah derita Perak FC dengan gol keempat Selangor FC yang juga gol ke-22 peribadinya musim ini untuk mengukuhkan peluang dirinya mendapat gelaran kasut emas.

Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor kini semakin kukuh di tangga kedua dengan 55 mata berbaki dua perlawanan, lima mata mengatasi Kedah yang masih mempunyai baki tiga perlawanan.