PASUKAN Selangor Red Giants (SRG) mencipta sejarah apabila berjaya merangkul gelaran juara Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia Musim Ke-14, menewaskan Team Vamos dengan keputusan 4-2 di Kompleks Sukan Educity Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.
Kemenangan ini menjadikan SRG pasukan pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan MPL Malaysia sebanyak dua kali berturut-turut, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pasukan Mobile Legends terhebat di Malaysia.
Perlawanan akhir yang berlangsung penuh sengit itu turut menarik perhatian ribuan penonton dalam talian dan luar talian serta telah mencipta rekod tertinggi dalam sejarah MPL Malaysia.
Kejayaan ini turut mengukuhkan gelaran SRG di arena antarabangsa, selepas mencatat kemenangan pertama bagi e-sukan Mobile Legends (MLBB) Malaysia di peringkat global pada Julai lalu dengan merangkul kejuaraan MLBB Mid Season Cup (MSC) di Arab Saudi.
Selangor Red Giants bersama Team Vamos juga akan mewakili Malaysia di kejohanan berprestij Kejuaraan Dunia M6, di mana pusingan Wild Card bakal bermula pada 21 November, manakala Pentas Utama akan berlangsung pada 28 November.
Kejohanan Dunia tersebut menghimpunkan 23 pasukan dari 16 negara antarabangsa untuk bersaing merebut gelaran dunia serta hadiah wang tunai terkumpul RM 4.75 juta.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi yang menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian SRG dan menegaskan komitmen kerajaan dalam membangunkan industri e-sukan negara.
Beliau turut memuji peruntukan RM20 juta yang diumumkan di bawah Belanjawan Madani 2025 untuk memperkukuh ekosistem e-sukan di Malaysia.
“RM10 juta akan digunakan untuk membangunkan sebuah stadium khusus untuk e-sukan manakala baki peruntukan akan digunakan untuk latihan dan aktiviti berkaitan e-sukan yang lain,” katanya yang di petik daripada akaun rasmi MPLMY.
Dengan kejayaan SRG di pentas MPL Malaysia dan sasaran mereka untuk merebut gelaran juara dunia M6, harapan tinggi diletakkan agar pasukan ini terus mencipta sejarah dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.