PERJALANAN untuk menjadi yang terbaik dalam arena Mobile Legends Bang Bang (MLBB) telah bermula dengan penuh semangat dalam MPL Malaysia Season 14.
Juara dunia, Selangor Red Giants, mempamerkan aksi cemerlang pada minggu pertama apabila mencatat kemenangan bersih dalam semua perlawanan mereka.
Pemain roam mereka, Yums, meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang diraih pasukannya setelah berjaya mengumpul lima mata pada awal musim ini.
“Alhamdulillah, kami berjaya mengutip lima mata minggu ini, dan saya berharap kami dapat mengekalkan momentum ini untuk terus mengumpul semua mata yang ditawarkan,” kata Yums yang dipetik dari laman sosial rasmi srg.esportsmy.
Tidak hanya itu, Yums turut dinobatkan sebagai MVP dalam perlawanan menentang Team Rey, di mana Selangor Red Giants berjaya mencatatkan kemenangan 2-0.
MPL Malaysia Musim 14 kali ini menyaksikan 10 pasukan bersaing sengit untuk merebut gelaran juara.
Liga akan berlangsung selama enam minggu di Stadium Tertutup Serdang Jaya, Selangor dan liga akan menuju ke peringkat playoff yang akan diadakan di Johor.
Dengan perkembangan pesat e-sukan di Malaysia, harapan besar diletakkan agar lebih banyak sejarah baru dapat dicipta, membanggakan nama negara di persada dunia.