PASUKAN Selangor FC giat memastikan setiap pemain yang berada di dalam skuad mendapat minit permainan secukupnya dengan meminjamkan beberapa pemain muda ke pasukan lain di Liga Super.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon yang menyatakan akan ada beberapa pemain lain bakal dipinjamkan kepada kelab-kelab yang memerlukan pemain terutama pemain muda tempatan.

Setakat ini, empat pemain – Sikh Izhan Nazrel telah dipinjamkan ke Penang FC manakala Hein Htet Aung, Syahmi Adib dan Azrin Afiq pula dipinjamkan ke Negeri Sembilan FC untuk musim 2024-25 ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon

“Saya rasa mungkin ada seorang dua lagi yang akan dipinjamkan kerana masih terlalu awal. Liga akan bermula dalam 10 minggu dan sudah tentu akan ada pergerakan pemain dalam tempoh ini selepas semua pasukan memulakan latihan masing-masing.

Dalam perkembangan yang sama, pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee pula yakin dia akan kekal bersama Selangor musim ini namun tidak menolak kemungkinan dia akan dipinjamkan dan ianya bergantung kepada keputusan pihak pengurusan kelab.

“Buat masa ini saya tidak mahu memikirkan tentang perkara itu kerana saya masih kekal bersama Selangor dan sudah pulih dari kecederaan dan saya sedia merebut tempat dalam kesebelasan utama,” jelasnya.

Jimmy yakin dia kekal bersama Selangor musim ini

Gergasi Merah mempunyai skuad yang besar musim ini untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia dan juga buat julung kalinya beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024-25.