Kredit Foto – footballclubterengganu

AKSI Terengganu FC (TFC) dan Selangor, malam esok, terarah kepada dua sahabat baik, Nafuzi Zain dan Nidzam Jamil, yang turun dengan status berbeza namun misi yang sama buat kelab masing-masing.

Salah seorang daripadanya hadir selaku finalis Piala FA manakala seorang lagi sebagai jurulatih sementara menggantikan pengendali Jerman yang tidak lagi melatih pasukan itu.

Bagi Nafuzi, dia cukup teruja menghadapi perlawanan di Stadium MBPJ itu sekaligus berentap dengan rakan baiknya bagi merebut tiga mata dalam Liga Super yang menjadi taruhan.

Katanya, perlawanan esok mengingatkan kepada pengalaman sulungnya ketika memegang jawatan sama bersama TFC selepas Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan pada 2019.

“Perlawanan sulung saya selaku jurulatih sementara TFC adalah bertemu Felda United di bawah kendalian Nidzam dan kini giliran Nidzam pula sebagai jurulatih sementara Selangor bertemu TFC.

“Kami adalah rakan sebilik ketika mengambil lesen jurulatih dan dia seorang yang berpengetahuan serta berpotensi untuk mengendalikan pasukan di bawah kendaliannya.

“Namun TFC tetap turun dengan misi tiga mata bertemu mana-mana pasukan. Di atas padang nanti Selangor dianggap pasukan lawan walaupun kami berkawan baik,” jelasnya ketika ditemui Flash Sukan.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata beberapa pemain utama TFC bakal terlepas aksi dengan Selangor antaranya penyerang, Kipre Tchetche selain Petrus Shitembi dan Manuel Ott yang masih 50-50.