SELANGOR FC bersedia untuk melepaskan mana-mana pemainnya untuk beraksi dengan skuad kebangsaan biarpun di luar kalendar antarabangsa Fifa terutama untuk skuad bawah 23 tahun kebangsaan.
Gergasi Merah mempunyai majoriti pemain yang bakal memperkuatkan skuad B-23 tahun kebangsaan yang akan beraksi di Piala Asia B23 di Qatar pada April depan.
Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa berkata, dari aspek pengurusan, pihaknya tiada sebarang masalah untuk melepaskan pemain namun ianya perlu mendapat kelulusan daripada Tan Cheng Hoe memandangkan pasukan baru sahaja menjalani kem latihan pramusim awal Februari lalu.
“Saya rasa keputusan penuh kami berikan kepada Cheng Hoe yang akan tentukan sama ada pemain-pemain terbabit boleh dilepaskan atau sebaliknya. Buat masa sekarang, kita tiada masalah meskipun kita tahu ramai pemain kami mewakili pasukan B-23 kebangsaan.
“Pihak pengurusan anggap perkara ini sebagai salah satu tanggungjawab atau agenda nasional demi kebaikan bola sepak kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Shah Alam.
Skuad B-23 negara yang dikendalikan Juan Torres Garrido dijangka akan memanggil skuadnya untuk kem latihan menjelang kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Doha, Qatar dari 15 April hingga 3 Mei depan.