KEKECOHAN antara kedua-dua penyokong yang terjadi pada minit ke-30 perlawanan tidak menjejaskan tumpuan para pemain Selangor FC yang tidak mempunyai masalah membenam cabaran Perak FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Tindakan pantas Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal kekecohan penyokong memastikan tidak ada sebarang insiden yang lebih buruk berlaku dan aksi di tengah padang berjaya dilangsungkan tanpa gangguan.

Empat gol dengan dua daripada Ayron Del Valle dan masing-masing satu daripada Faisal Halim dan kapten pasukan, Mukhairi Ajmal sudah cukup untuk anak-anak buah Tan Cheng Hoe membawa pulang tiga mata penuh.

Ayron yang sebelum ini dikecam para penyokong kerana dikatakan kurang menjadi membuktikan kemampuan dirinya apabila menyumbat dua gol pada setiap babak untuk gol kesembilan peribadinya musim ini.

Pemain paling popular di kalangan para penyokong, Faisal Halim menjaringkan gol kedua Gergasi Merah dan meraikan jaringan dengan gaya ‘trademark’ nya dihadapan lebih 6,300 penonton yang hadir.

Mukhairi Ajmal yang baru pulang dari kempen Sukan Sea berjaya menemui sentuhan jaringan untuk gol ketiga yang juga gol pertamanya dalam Liga Super musim ini sebelum Ayron menanduk masuk gol keempat untuk memadam sisa perjuangan Perak.

Pelbagai insiden berlaku pada perlawanan ini apabila pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin terpaksa digantikan dengan pengadil keempat selepas mengalami kekejangan otot pada minit ke-75.

Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor kembali merampas tempat kedua dari Sri Pahang manakala Perak kekal di tangga ke-11 dengan empat mata selepas berakhir 11 perlawanan.