JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan mereka adalah pasukan berstatus elit apabila mudah membenam cabaran Selangor FC 0-3 dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium MBPJ.

JDT hadir ke Kelana Jaya untuk menebus kehampaan tewas buat pertama kali di tangan wakil Republik Korea, Gwangju FC berjaya menekan anak-anak buah Nidzam Jamil sejak awal perlawanan untuk mengulangi kejayaan di final Piala FA.

Gergasi Merah yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors tidak berjaya mengekalkan momentum itu ditambah masalah kecederaan yang melanda beberapa pemain utama pasukan.

Gandingan Bergson dan Arif Aiman mengkucar-kacirkan pertahanan Selangor FC

Bek bertiga JDT – Feroz Baharudin, Eddy Israfilov dan Park Jun-heong yang diturunkan buat pertama kali dalam Liga Super tidak berdepan masalah mengekang asakan Selangor yang diketuai Ali Olwan.

Umpama ketika final Piala FA, Juan Muniz sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Selangor FC apabila sepakan percumanya pada minit ke-30 dikuis masuk Romel Morales untuk memberikan kelebihan awal buat JDT.

Harimau Selatan menggandakan gol seminit sebelum tamat babak pertama apabila Bergson Da Silva merembat masuk selepas menerima hantaran Arif Aiman untuk gol ke-15 peribadinya dalam liga musim ini.

Romel Morales membuka tirai jaringan pada babak pertama

Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak barisan pertahanan Selangor dan akhirnya membuahkan hasil apabila Arif Aiman dijatuhkan dalam petak penalti dan Bergson mudah menewaskan Azim Al Amin untuk gol ketiga.

Permainan menjadi sedikit panas menuju penghujung perlawanan dengan beberapa kekasaran dilakukan kedua-dua pasukan namun pengadil cepat membuat keputusan untuk memastikan tiada insiden lebih buruk berlaku.

10,215 penyokong jelas terhibur dengan aksi yang ditampilkan tetapi penyokong JDT pulang dengan gembira manakala Selangor masih tercari-cari kemenangan dalam liga sejak penghujung September.

Kemenangan ini memberikan JDT kelebihan lapan mata keatas Selangor di tangga teratas dengan berkelebihan satu perlawanan dan juga melebarkan rekod tanpa kalah di tangan Selangor sejak 2017.