PEMAIN tengah Celtic, Aaron Mooy mengumumkan bersara dari dunia bola sepak dengan serta merta seperti yang dilaporkan media.

Aaron yang memainkan peranan penting dalam treble pemecah rekod Celtic baru-baru ini membuat keputusan tersebut setelah menyulam satu karier yang hebat selama 15 tahun ini.

Terdahulu, Mooy, 33,  telah bermain dengan beberapa kelab bola sepak termasuklah Brighton, Melbourne City, Huddersfield Town dan St Mirren sebelum menyertai Celtic pada tahun 2022.

Dalam masa yang sama, Mooy juga pernah memenangi 57 kaps untuk Australia pada zaman kemuncak penampilannya di Piala Dunia FIFA tahun lalu di Qatar.

“Walaupun terasa sangat sedih untuk meninggalkan permainan, saya merasakan ini adalah masa yang tepat untuk saya. Saya sangat beruntung dapat menikmati karier yang hebat selama 15 tahun yang lalu dan dapat mencipta kenangan hebat.

“Saya gembira dapat menamatkan karier saya dengan Celtic dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan hebat mereka sepanjang tahun lalu,” kata Mooy dalam satu kenyataan.

Walaupun keputusan tersebut adalah sukar untuk dilakukan, Mooy mengakui keputusannya sekali gus dapat memberi peluang kepada generasi baru untuk berada dalam dunia bola sepak antarabangsa.