PENGASAS dan juga jurulatih Negeri Sembilan Walking Football Club (N9WFC), Rachel Gomes mengakui teruja dan bersyukur selepas menerima pengiktirafan daripada Muzium Bola Sepak Malaysia.
Rachel yang juga bekas pemain bola sepak wanita kebangsaan memberitahu, setelah lebih 40 tahun, usaha gigih yang dicurahkan oleh pemain bola sepak wanita di Malaysia akhirnya mendapat perhatian.
Bekas pemain skuad Malaysia yang menyarung jersi bernombor 9 ini mendapat panggilan daripada Sham yang memintanya untuk menandatangani jersi yang dipakai semasa mewakili negara.
Rachel mengakui betapa banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh ramai atlet wanita, khususnya dalam bola sepak yang didominasi oleh lelaki, sering kali tidak dihargai.
Rachel memberitahu, dia turut mendermakan satu-satunya pingat pengiktirafan yang diterimanya, Jasa Mu Di Kenang, yang dianugerahkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga seorang bekas pemain bola sepak.
“Masih belum terlambat dan terima kasih atas penghormatan ini Encik Sham. Saya ingin menyumbangkan satu-satunya Pingat pengiktirafan saya (Jasa Mu Dikenang) yang diberikan untuk perkhidmatan 10 tahun saya yang saya lakukan untuk negara ini,” ujar Rachel dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Ahad.
Dalam pada itu, Rachel itu berkongsi majlis tersebut adalah untuk memberi penghargaan kepada pemain-pemain bola sepak Negeri Sembilan yang telah mewakili kelab dalam Kejohanan APWFC di Perth.
“Terima kasih untuk detik indah ini. Kelab saya menganjurkan penghargaan Hi Tea ini untuk semua pemain yang mewakili N9WFC baru-baru ini ke Perth untuk kejohanan APWFC. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian di bawah N9WFC,” kongsi Rachel.
Rachel tidak berselindung dengan perasaan bangga apabila semua pemain, dengan lebih 50 orang wakil dari Malaysia yang mengambil bahagian telah menunjukkan semangat juang yang tinggi.
Dalam pada itu itu, menyaksikan Kelab N9WFC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara WSF dan Oakland Raiders telah diadakan.
Oakland Raiders akan mewakili N9WFC dalam kejohanan-kejohanan akan datang.
Sebagai sebahagian daripada penghargaan kelab, para pemain yang menyertai Hari Sukan Negara juga menerima wang hadiah RM1,000.
Tiga anugerah khas turut diberikan oleh Presiden N9WFC kepada penjaring terbanyak iaitu Nur Izmalyana (wanita, 7 gol), Hamdan Manap (lelaki, 12 gol), serta Penjaga Gol Harapan, Noraihan Bahari.
Manakala Anugerah khas turut diberikan kepada Halimah Mat (Lucky Star) atas pencapaiannya menjaringkan 4 gol di Perth dan dua gol di Malaysia.