PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) nampaknya perlu berusaha lebih gigih untuk mencari lawan kedua buat skuad Harimau Malaya pada bulan November depan.

Hal ini kerana pasukan yang menjadi sasaran utama seperti Afghanistan dan Bangladesh telah memiliki aksi persahabatan masing-masing, sekali gus mengetepikan ujian bersama Harimau Malaya.

Selepas skuad kebangsaan dilaporkan membuat rundingan bersama beberapa negara Asia Selatan, Afghanistan telah mengesahkan aksi perlawanan bertemu pasukan pilihannya, Nepal dan Tajikistan.

Harimau Malaya pernah menang keatas India pada aksi Pestabola Merdeka 2023, dengan keputusan 4-2.

Manakala, Bangladesh pula difahamkan telah mengatur aksi persahabatan bersama pasukan Maldives. Ini menyaksikan skuad kendalian Pau Marti Vicente terlepas akan pertemuan dengan dua pasukan Asia berkenaan.

Kini, hanya pasukan yang sedang berada di ranking-125 dunia iaitu India yang sudah mengesahkan untuk menjadi lawan pertama Harimau Malaya.

Pertembungan tersebut bakal diadakan di tempat lawan pada 19 November.

Sebelum ini, FLASH SUKAN melaporkan terdapat enam negara yang mungkin menjadi lawan Malaysia untuk aksi persahabatan kedua seperti Bangladesh, Maldives, Nepal, Bhutan, Pakistan dan Sri Lanka.