EKSKLUSIF

NEGERI Johor sememangnya terkenal dengan fasiliti sukan yang berkelas antarabangsa dan hasilnya mereka dapat melahirkan ramai atlet yang berjaya seperti yang dapat dilihat ketika Sukma 2022 apabila mereka menggondol 70 pingat emas dan muncul juara keseluruhan.

Segalanya bermula apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih pasukan bola sepak negeri dan menjenamakan semula menjadi Johor Darul Ta’zim (JDT) sekaligus menjadi contoh kelab dengan fasiliti terbaik di Malaysia.

Bertitik tolak dari itu, banyak persatuan sukan di negeri Johor giat menaik taraf fasiliti mereka bagi memastikan kesemua atlet yang terlibat mendapat manfaat dan dapat memberikan persembahan terbaik.

Alwiyah Talib (depan, tengah) bersama pasukan bola jaring remaja Johor

Terbaharu, Persatuan Bola Jaring Johor bakal mendapat pusat latihan baharu yang serba canggih dan lengkap di Taman Suria, Johor Bahru yang bakal menjadi pusat latihan rasmi skuad bola jaring Johor termasuk Johor Jewels dan pasukan remaja serta pembangunan.

Presidennya, Alwiyah Talib mendedahkan pelan itu kepada FLASH SUKAN dan dia menjunjung kasih kepada Penaung DiRaja, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam atas sokongan yang diberikan sehingga Johor bergelar jaguh bola jaring tempatan.

“Projek pusat latihan ini sedang dalam pembinaan dan akan siap pada tahun depan. Ia akan merangkumi satu gelanggang bertaraf antarabangsa serta bakal dilengkapi asrama pemain, bilik persatuan, bilik-bilik mesyuarat dan bilik VIP untuk digunakan oleh Penaung DiRaja.

“Pusat Latihan ini akan digunakan sepenuhnya oleh Persatuan Bola Jaring Johor sebagai tempat untuk menjalani latihan dan melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan bola jaring di mana Johor adalah juara Liga Bola Jaring Kebangsaan (NSL) manakala Malaysia adalah juara Asia,” katanya.

Pasukan Johor Jewels muncul juara NSL menamatkan penguasaan Kuala Lumpur Wildcats dan fasiliti baharu ini sudah pasti akan menambahkan lagi semangat para pemain kerana bakal menggunakan pusat latihan yang lengkap.