ATLET cemerlang gimrama negara, Ng Joe Ee memasang impian besar untuk melangkah ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan 2021/2022, Joe Eee menyatakan bahawa waktu ini menjadi cabaran untuk meraih tiket ke Olimpik Paris 2024, jadi matlamat yang lebih realistik bagi dirinya adalah Olimpik seterusnya.

“Saya ditimpa kegagalan ketika ingin meraih prestasi cemerlang di Kejohanan Gimnastik Berirama Dunia ke-40 di Valencia, Sepanyol dan itu antara faktor yang membuatkan laluan ke Olimpik Paris 2024 menjadi lebih sukar,” ungkapnya.

Dengan penuh semangat, atlet berusia 18 tahun ini terus memandang ke hadapan dan turut menetapkan harapan untuk mencapai kejayaan di Kejohanan Gimnastik Asia dan Sukan Sea akan datang.

Kemenangan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan jelas memberikan motivasi tambahan kepada Joe Ee sekali gus bercita-cita untuk mengejar lebih banyak kejayaan di persada antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, saya gembira dengan kemenangan ini. Sasaran seterusnya adalah di Kejohanan Gimnastik Asia, di mana saya berharap untuk berada dalam kedudukan lapan kelompok terbaik, dan pada Sukan SEA 2025, saya ingin mengecap pingat emas selepas menduduki tempat kedua pada edisi sebelumnya di Vietnam,” kongsinya.

Sementara itu, Joe Ee turut menyemai benih cita-cita untuk menjadi seorang jurulatih pada masa hadapan, dengan hasrat untuk menyampaikan ilmu dan kepakaran kepada generasi muda gimnastik demi mengekalkan legasi dalam sukan ini.