KETUA jurulatih Melaka FC, Pedro Hipolito, optimis mereka berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran memburu tiket automatik ke Liga Super 2024.

Menurut jurulatih Portugal itu, gabungan pemain muda dan berpengalaman Melaka FC diyakini mampu merealisasikan hasrat itu meskipun baru dibentuk empat bulan lalu.

“Pihak pengurusan mahu Melaka FC menerapkan disiplin dalam corak permainan kami namun ianya memerlukan masa dan juga kerja keras.

“Kami diletakkan sasaran dua terbaik dalam Liga M3 seterusnya ke Liga Super 2024. Perjalanan masih jauh namun saya lihat pemain-pemain berusaha ke arah itu.

“Melaka FC berupaya memberi saingan kepada kelab Liga Super cuma dibezakan pengalaman,” ujarnya kepada FLASH SUKAN selepas tunduk 0-4 kepada Terengganu FC (TFC).

Pemain Melaka mendapat pengajaran berguna daripada kekalahan dan boleh fokus terhadap aksi Liga M3.

Keputusan itu menyaksikan Melaka FC ditunjukkan jalan keluar dari saingan Piala FA dan menukar tumpuan kepada Liga M3 yang sudah berlangsung tiga perlawanan.

Hipolito berkata, Melaka FC bermula baik dalam setiap babak pada pertemuan itu namun akur kepada TFC yang disifatkan sebagai antara calon juara menjulang Piala FA tahun ini.

“Selepas bolos gol seawal minit kelima, pemain memberi respon baik sehingga menyukarkan TFC membuat gerakan, malah kami ada beberapa peluang menjaringkan gol.

“Begitu juga pada babak kedua, Melaka FC berupaya memberi tentangan sehinggalah aksi berbaki 20 minit dengan pasukan lawan menambah tiga gol,” katanya.