PERSEORANGAN profesional negara, Lee Zii Jia merancang untuk meneruskan ‘pertapaan’ ke negara lain dalam usaha meningkatkan kualiti permainannya.
Selepas menjadikan Korea Selatan sebagai mendapat corak latihan berbeza, kali ini Zii Jia mungkin berguru di Thailand, bagi mendapatkan variasi latihan sebagai persiapan ke Olimpik Paris.
Jurulatihnya, Wong Tat Meng berkata, program latihan luar negara akan diteruskan bagi mempersiapkan pemain ranking ke-10 dunia menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.
“Selepas Korea, mungkin kita akan pilih negara lain pula. Saya mahu bagi Zii Jia belajar, berlatih dalam suasana yang berbeza.
“Sebelum ini, Loh Kean Yew (perseorangan Singapura) ada pergi ke Thailand dan berlatih bersama perseorangan negara itu Kunlavut Vitidsarn (juara dunia).
“Jadi, kami pun mungkin boleh ke sana untuk Zii Jia berlatih dengan Kunlavut kerana saya juga mengenali jurulatih di Thailand,” kata Tat Meng.
Sebelum ini, Zii Jia yang juga bekas juara Seluruh England menghabiskan masa selama 10 hari dari 31 Januari hingga 9 Februari menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Korea di pusat latihan Persatuan Badminton Korea (BKA) di Jincheon.
Melihatkan hasil latihan di Korea itu, Tat Meng berkata, dia gembira kerana Zii Jia terbuka untuk menerima perubahan dalam program latihan yang cuba dibawanya.
“Korea ada lapan pemain perseorangan, ketika kami di sana hanya Jeon Hyeok Jin saja yang tidak ada kerana menyertai kejohanan di Thailand dan Azerbaijan.
“Sepanjang di Korea, Zii Jia mendapat peluang berlatih dengan pemain yang memiliki kemahiran berbeza termasuklah pemain kidal.
“Ini adalah sesuatu yang bagus untuk Zii Jia, jadi dia tidak berlatih dengan pemain saya yang sama saja seperti di Malaysia. Keterbukaannya memudahkan saya menyusun program latihan seterusnya untuk dia,” kata Tat Meng.
Ketika ini, Zii Jia bersama skuad kebangsaan beraksi dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam.