PENJAGA gawang PDRM FC, Ramadhan Hamid sah meninggalkan kelab dan bakal menyertai pasukan dari utara, Perak FC musim 2024/25.
Perpisahan pemain yang bakal menjengah usia 29 tahun pada 16 Februari depan itu diumumkan secara rasminya menerusi laman sosial kelab terbabit, pada Isnin.
“Ramadhan Hamid telah melengkapkan perpindahannya ke Perak FC untuk musim 2024/25.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih atas khidmatnya musim lalu,” tulis kenyataan itu.
Ramadhan memulakan kerjayanya bersama pasukan remaja Kelantan pada 2012 pada usia 18 tahun. Setahun kemudian, Ramadhan berpindah ke pasukan Harimau Muda B B-21 secara pinjaman dan telah bermain untuk Liga Singapura.
Pada 7 September 2015, Ramadhan dipilih mewakili Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA 2018 menentang Arab Saudi. Namun, dia hanya menghabiskan masa di bangku simpanan semasa perlawanan.
Pencapaian terbaiknya ketika bersama Kedah Darul Aman meraih pingat Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia musim 2019.
Manakala bersama Penang FC sempat memenangi Liga Premier semusim selepas itu.