JOHOR Darul Ta’zim (JDT) memberikan pesta kepada para penyokong mereka bukan sahaja di luar padang malah di dalam padang apabila membelasah Penang FC 8-0 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.

Empat gol daripada Arif Aiman serta dua gol dari Bergson Da Silva dan masing-masing satu dari Akhyar Rashid dan Heberty Fernandes melengkapkan hari gemilang Harimau Selatan yang turut menamatkan musim dengan 100 jaringan gol.

JDT bukan sahaja bergelar juara 10 kali berturut-turut tetapi juga berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dua musim berturut-turut yang nyata menggembirakan lebih 33,000 penyokong yang hadir ke stadium.

Arif Aiman memulakan pesta JDT seawal minit kelima sebelum Bergson, Akhyar dan Heberty memastikan skuad kendalian Esteban Solari itu selesa mendahului Harimau Kumbang lima gol tanpa balas pada babak pertama.

Tidak sampai dua minit bersambung babak kedua, Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 itu sekali lagi meledak gol keenam sebelum lima minit kemudian dia melengkapkan hatrik yang juga gol ke-11 peribadinya dalam Liga Super.

JDT terus menyerang untuk menambah jaringan tetapi digagalkan ketangkasan penjaga gol Penang FC yang banyak menafikan peluang terbaik sekaligus mengelak Harimau Kumbang dari terus dibelasah.

JDT melengkapkan gol kelapan dan gol ke-100 musim ini apabila Arif Aiman menyempurnakan penalti untuk gol keempatnya untuk JDT menamatkan musim 2023 dengan cukup gemilang dengan gelaran Double Quadruple, tanpa kalah, jaringan terbanyak, bolos pada sedikit dan mata terkumpul terbanyak.

Penang FC pula terpaksa menerima hakikat perbezaan kualiti antara kedua-dua pasukan dan menamatkan musim di tangga ke-10 dengan 24 mata dari 26 perlawanan.