WALAU sesiapapun menjadi lawan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sentiasa bersedia menempuhnya dalam usaha memburu kejuaraan di Seluruh England, bermula esok.
Gandingan utama negara itu, diundi menentang rakan sepasukan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan pertama di Birmingham, mahu menampilkan aksi terbaik selepas prestasi kurang memberangsangkan di Terbuka Perancis.
Mengakui kecewa berhadapan rakan sepasukan seawal pusingan pertama, namun terpaksa menerimanya meskipun berasa undian sentiasa tidak memihak apabila kerap menemukan rakan senegara.
Sebagai pilihan kelima edisi Seluruh England tahun ini, Aaron-Wooi Yik bakal meneruskan perhitungan menentang pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Renkireddy-Chirag Shetty di suku akhir, satu tugasan berat buat mereka namun perlu mempunyai jawapannya sebelum Sukan Olimpik Paris.
Sementara itu, beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga berdepan tugas berat seawal pusingan pertama apabila diundi menentang pilihan kelapan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula berdepan Akira Koga-Taichi Saito (Jepun) di pusingan pertama, sebelum bakal berdepan pilihan ketujuh dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Adrianto di pusingan kedua.
Sementara itu, dua beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien akan membuat perhitungan di pusingan pertama, sebelum pemenang perlawanan ini bakal berdepan pilihan utama kejohanan dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan kedua.