BIARPUN lapan bulan menjalani rawatan akibat kanser paru-paru tahap empat, legenda bola sepak negara Khaled Ali tidak melepaskan peluang mengikuti perkembangan Harimau Malaya yang bersaing dalam Pestabola Merdeka ketika ini.

Menurutnya, kejohanan membabitkan India dan Tajikistan itu, adalah peluang terbaik buat skuad kebangsaan membina nama dan pasukan untuk mencapai tarap antarabangsa.

“Saya ikut perkembangan Pestabola, kalah atau menang, itu adalah build up untuk pasukan.

“Ini peluang buat pemain muda mencapai tahap antarabangsa dan pemain harus mengambil kesempatan untuk johan kejohanan,” katanya, ditemui pada majlis Ziarah Kasih Lagenda Bola Sepak Perkukuh Semangat Perpaduan.

Khalid Ali menceritakan situasi dirinya ketika ini.

Khalid, 66, antara tiga legenda bola sepak negara yang diziarah termasuk P Darmalinggam yang menghidap angin ahmar dan S Pushpanathan, bengkak usus.

Program Ziarah Kasih itu dijayakan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Hadir menziarah diketuai Ketua Setiausaha KPN, Datuk azman Mohd Yusof; Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi Yakeb, Noorul Arifin Abdul Majid.

Mengulas mengenai kondisinya, Khalid berkata, kanser paru-paru dihidapnya kin merebak ke otak.

“Saya kini sudah menjalani tiga kali radio terapi kepala, dan kini saya rasa lebih tenang dan nampak ada kemajuan.

“Tetapi doktor memberitahu, perkembangan kondisi saya hanya akan dapat dipastikan selepas tiga hingga empat bulan lagi,” kata Khalid, yang turut menyuarakan rasa gembira kerana mendapat perhatian dariapda pelbagai pihak.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bertanyakan Khalid Ali, kondisi terkini.

Menurutnya, rawatan kanser terlalu mahal namun pelbagai bentuk bantuan diterimanya daripada FAM dan Yakeb, membuatkannya tidak terlalu berasakan beban itu.

Khalid, mencipta nama bersama Selangor adalah bekas pemain Harimau Malaya pada era 1970-an yang mana antara pencapaian terbaiknya membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.

Menurut Hamidin, seiring Pestabola Merdeka ini, FAM mengambil kesempatan bertemu Khalid dan mengenang jasanya sebagai wira negara.

“Pasukan bola sepak pada tahun 1980 begitu berinspirasi, serta semangat juang mereka untuk melayakkan diri menuju Sukan Olimpik Moscow 1980 wajar dicontohi.

“Saya mewakili delegasi FAM berharap dan berdoa semoga segala urusan beliau dan keluarga dipermudahkan,” kata Datuk Haji Hamidin pada sesi lawatan berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamad dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.