PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio gembira dan memuji semangat juang para pemainnya yang bangkit selepas ketinggalan kepada Kedah Darul Aman FC untuk menang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.
Kemenangan itu meletakkan JDT selangkah sahaja lagi untuk melengkapkan musim ini dengan rekod tanpa kalah apabila berhadapan Sabah FC di laman sendiri pada Sabtu.
Meskipun mencatatkan kemenangan, namun pengendali kelahiran Argentina itu mengakui anak-anak buahnya sedikit tertekan pada babak pertama dan hanya bermain corak permainan sebenar pada babak kedua.
That determination to bring yet another win and three points!
More photos at https://t.co/8e685N9mDx#JDTvKDA#LigaSuper2022#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/7L1RRHz9rA
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 11, 2022
Dia juga mengakui gol yang dimiliki Kedah adalah hasil salah faham di antara barisan pertahanan namun segalanya dapat diatasi pada babak kedua dengan empat gol berjaya dihasilkan.
“Kami menguasai keseluruhan permainan pada babak pertama dan saya lihat pemain sedikit gementar apabila beraksi di padang kerana berada dalam tekanan kerana ianya sukar untuk menembusi benteng lawan yang meletakkan sembilan pemain di kawasan pertahanan mereka.
“Gol Kedah berpunca daripada salah faham apabila pertahanan kami menjangkakan bola yang keluar memihak JDT tetapi sebaliknya dan kesempatan itu digunakan oleh Kedah dengan Ronald Ngah Wanja pantas menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan menjaringkan gol.
“Memasuki babak kedua, pemain mula menunjukkan karektor yang positif dan beraksi dengan tenang untuk menguasai permainan dengan corak permainan berintensiti tinggi dengan memberi tekanan keatas benteng lawan dan ia memberi pulangan lumayan apabila gol demi gol terhasil,” katanya.
Bidoglio juga mengakui agak sukar untuk mengekang corak permainan Kedah yang gemar menggunakan serangan balas yang pantas dan memaksa barisan pertahanan Harimau Selatan untuk bekerja keras bagi mengelak dibolosi.
Ini adalah kemenangan kedua JDT ke atas Sang Kenari dalam tempoh seminggu dengan JDT sebelum ini berjaya memenangi perlawanan di Darul Aman 3-1 meskipun bermain dengan 10 pemain selama 45 minit.