JURULATIH Perak FC, Yusri Che Lah, akhirnya dapat menikmati kemenangan pertama pasukannya dalam Liga Super selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Tiga mata yang diraih di gelanggang lawan, menambah manisnya kejayaan tersebut bagi pasukan dan para penyokong setia The Bos Gaurus.
Yusri juga menerbitkan rasa syukur dan terima kasihnya kepada Allah atas nikmat yang diperoleh.
“Alhamdulillah, Allah telah memberikan kemenangan pertama liga kami untuk malam ini (Jumaat) walaupun ianya berlaku di gelanggang lawan,” katanya selepas perlawanan di Alor Setar.
Pengendali asal Perlis berusia 48 tahun itu turut memahami bahawa banyak pihak mungkin tidak memberikan harapan untuk mereka menang di tempat lawan, namun usaha keras dan semangat juang para pemain telah membuktikan sebaliknya.
“Saya perlu berterima kasih kepada semua pemain, staf yang bertugas, kerana mereka tahu betapa tertekannya kita semua selepas tewas dengan jaringan yang agak tinggi.
“Memang memberikan tekanan, namun pasukan Perak FC bangkit dengan semangat juang yang luar biasa,” ujarnya.
Dalam perlawanan malam itu, walaupun Perak FC menguasai sebahagian besar permainan, mereka hanya sesekali membuat serangan balas yang mencetuskan jaringan kedua Perak menerusi gerakan berpasukan dimulakan oleh Wan Zack Haikal dan Luka Milunovic.
ARTIKEL BERKAITAN : Lee Tae-min lepas geram, bantu Bos Gaurus tanduk Sang Kenari
“Inilah bola sepak. Seandainya kita menggunakan peluang sebaik mungkin, ianya memihak kepada kita,” tegas Yusri bahawa pasukan perlu menilai dan memperbaiki kelemahan yang ada.
Perak kini meraih tiga mata dan akan menyambung perjuangan dalam aksi Piala FA serta Liga Super sebaik sahaja kempen kelayakan Piala Dunia 2026 skuad kebangsaan berakhir.
“Alhamdulillah, dengan perlawanan liga terhenti dalam kalendar memberikan beberapa pemain kami yang cedera sempat pulih.
Terima kasih kepada pihak pengurusan yang terus memberikan sokongan untuk membantu dan memulihkan reputasi pasukan,” katanya.