DUA gol dan satu bantuan jaringan daripada kapten pasukan, Faisal Halim memacu kemenangan skuad Harimau Malaya dalam aksi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat malam.
Memegang lilitan kapten, Faisal mempamerkan aksi menarik memimpin barisan wajah baharu skuad kebangsaan yang dilihat tidak kekok melaksanakan taktikal yang disusun pengendali, Kim Pan Gon untuk membenam Kemboja 4-0.
Lee Tuck yang melakukan debut setelah dinaturalisasikan berjaya menjaringkan gol kedua sekaligus membuktikan kemampuan dan mengesahkan pemilihannya ke dalam skuad kebangsaan.
Malam gemilang ini turut menjadi milik pemain warisan, Stuart Wilkin yang juga menjaringkan gol debutnya pada penghujung babak kedua untuk melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia.
Malaysia selesa mendahului 3-0 pada babak pertama dan Kim Pan Gon dilihat banyak membuat pertukaran pada babak kedua bagi memberi minit permainan dan mencuba gandingan pemain yang dirasakan sesuai.
Gandingan dua pertahanan bertocang, Khuzaimi Piee dan Sharul Nazeem dilihat sangat baik mematahkan serangan Kemboja yang sesekali cuba mengancam kubu skuad negara dengan dibantu Ruventhiran dan Azam Azmi Murad.
Lebih 8,000 penyokong yang mengharungi hujan lebat sebelum dan ketika permainan nyata berpuas hati dengan kemenangan ini yang memberikan petanda potensi pasukan ini bagi menghadapi Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti.
Kemenangan 4-0 ini berjaya melonjakkan ranking Malaysia apabila berjaya mengatasi Hong Kong dan berpeluang untuk menjarakkan lagi mata jika berjaya membenam Maldives dalam aksi antarabangsa pada Rabu.