TIADA kata-kata lain boleh diungkapkan pengendali Perak FC, Yusri Che Lah melainkan memuji aksi para pemainnya yang berjaya dalam misi meraih tiga mata penuh ke atas Selangor FC II pada Selasa.

Malah, Yusri ketika ditanya apakah pesanan buat pemain The Bos Gaurus semasa rehat di bilik persalinan sejurus kedudukan berakhir tanpa jaringan pada babak pertama.

“Saya faham pemain tertekan mendapatkan jaringan tetapi mereka perlu bersabar dan kena bersedia dengan apa yang kita ada di separuh masa kedua.

“Saya rasa tiada benda lain yang saya puji melainkan kemenangan kalau bukan sebab menang, tapi kesungguhan mereka kerana tidak membiarkan pemain muda Selangor (menjaringkan gol) dan sehinggakan pemain muda malam ini tercabar mungkin disebabkan filem Mat Kilau yang pecah panggung sampai aksi saat akhir tu ‘bahaya’.

“Jadi bahaya budak-budak muda tengok Mat Kilau.. bahaya,” selorohnya kepada FLASH SUKAN dalam sidang media saingan Liga Premier di Stadium UiTM, Shah Alam.

Berlaku sedikit ketegangan di penghujung babak kedua namun kedua-dua pasukan menunjuk sikap profesional dengan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Skuad Kejor Yop Skor kini mengutip empat mata selepas mengharungi 13 perlawanan dan akan bertandang ke tempat lawan berturut-turut bertemu pendahulu semasa, Kelantan FC pada 10 Ogos diiikuti Johor Darul Ta’zim II, tiga hari kemudian.