TERDAPAT sembilan persatuan sukan yang masih belum membuka akaun bank khas bagi urusan penerimaan dana daripada kerajaan, diingatkan untuk melaksanakannya sehingga hujung tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, mereka sudah menghantar surat pemakluman kepada sembilan persatuan mengingatkan untuk membuka akaun bank khas itu.
“Banyak (persatuan) yang menunggu sehingga mereka menyelesaikan mesyuarat majlis kerana untuk membuka akaun ini ia tidak boleh dengan sesuka hati,” katanya.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan rata-rata persatuan enggan membuka akaun bank khas seperti diminta pihaknya sebagai syarat utama untuk menerima kemasukan dana daripada kerajaan.
KBS memperkenalkan semula kaedah ’empowerment’ kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) bagi mengurus dan meningkatkan tadbir urus peruntukan kewangan yang diterima mereka.
Program berkenaan bakal menyaksikan peruntukan akan disalurkan kepada PSK setiap empat bulan sekali bagi perbelanjaan merangkumi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan prestasi, program pembangunan dan perkhidmatan sokongan.
Fasa pertama program itu membabitkan 19 PSK dan 23 jenis sukan bagi menyokong program Podium dan pelapis kebangsaan sepanjang tahun 2024.