PERLAWANAN tumpuan bagi kempen Piala FA musim ini sudah tentu terarah pada pertembungan di antara Terengganu FC (TFC) di laman sendiri untuk memberi aksi terbaik menentang Selangor FC  (SFC) pada Sabtu ini.

Kegilaan penyokong skuad Penyu ini sememangnya mempunyai sejarah yang tersendiri yang membuatkan pasukan keselamatan terpaksa turut sama bekerja keras untuk memastikan tiada sebarang insiden yang tidak dikehendaki berlaku nanti.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din dalam satu kenyataan media pada Jumaat, kawalan ketat menanti setiap penyokong yang hadir nanti sama ada dari penyokong tuan rumah mahupun pasukan pelawat.

Garis panduan dan SOP (Standard Operating Procedure) terhadap Kawalan keselamatan di stadium seperti mana yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis diraja Malaysia (PDRM).

 

Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium dengan melakukan pemeriksaan badan mahupun beg.

“Kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dengan cara menganjurkan perhimpunan, perarakan atau membuat provokasi, pergaduhan, pertelingkahan atau nyanyian dalam bentuk sindiran hinaan dan sebagainya yang mana perbuatan tersebut boleh diambil tindakan undang-undang sedia ada jika ditangkap.

“Pihak polis juga akan menempatkan seramai 400 orang pegawai dan anggota bagi menjaga serta mengawal ketenteraman awam dan keselamatan perlawanan bola sepak ini bag memastikan perlawanan ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan berlaku,” jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh mengumumkan seramai 30,000 penonton dijangka membanjiri stadium bagi perlawanan ini termasuk 1,500 penyokong pasukan pelawat.