BERITA yang kurang baik buat arena sukan tanah air apabila jaguh basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang disahkan mengalami masalah jantung iaitu anomalous aortic origin of right coronary artery (AAORCA).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli, pelumba basikal prolifik negara ini mula menjalani fasa latihan persediaan bermula Disember 2021, dan pada awal tahun 2022 beliau telah mengadu sakit dada selepas menjalani sesi latihan.
“Azizulhasni kemudiannya telah dirujuk oleh doktor perubatan keluarga beliau kepada pakar perunding jantung kardiologi di Melbourne iaitu Dr. Barveen Aisha Abu Baker bagi menjalani pemeriksaan dan ujian yang lebih teliti.
“Beberapa siri ujian awal yang dijalankan termasuk electrocardiogram (ECG) dan troponin menunjukkan keputusan yang normal. Walau bagaimanapun, disebabkan simptom sakit dada (dipanggil angina) beliau yang berulang semasa latihan, beberapa siri ujian lanjutan dijalankan meliputi ujian stress, echocardiogram dan CT coronary angiogram.
“Hasil daripada siri ujian ini mendapati jantung Azizulhasni mempunyai keadaaan yang dipanggil anomalous aortic origin of right coronary artery (AAORCA).
“Keadaan ini jarang ditemui dan pakar bedah di Australia telah memutuskan bahawa beliau perlu menjalani pembedahan pembetulan (corrective surgery) kerana risiko sudden cardiac arrest yang tinggi. Setelah berbincang dengan Azizulhasni, Dr. Barveen seterusnya berkongsi serta menerangkan kronologi diagnosis keadaan Azizulhasni kepada pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) yang diketuai oleh Dr. Kamarul Hashimy Hussein (Pengarah Bahagian Perubatan Sukan ISN) dan turut dihadiri oleh Pakar Perunding Bedah Kanan Kardiotorasik merangkap Pengarah Sukan dan Kecergasan Kardiovaskular, Institut Jantung Negara (IJN) iaitu Datuk Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Ahmad Faedzal, pembedahan pembetulan (corrective surgery) terhadap Azizulhasni telah selamat
dilaksanakan pada 21 April 2022 (Khamis) di Epworth Richmond Hospital, Melbourne, Australia dan diketuai oleh Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Dr. Aubrey Almeida dengan usahasama Dr. Jeffrey.
“Pembedahan pembetulan tersebut iaitu reimplantation of the right coronary artery telah dijalankan melalui teknik minimally invasive surgery via mini-sternotomy yang bertujuan membantu mempercepatkan proses pemulihan Dato’ Azizulhasni. Kos pembedahan beliau telah dibiayai melalui skim insurans yang dicarum oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
“Pemilihan Dr. Almeida dibuat atas nasihat Dr. Jeffrey dengan mengambikira pengalaman luas dan kemahiran Dr. Almeida dalam melakukan pembedahan kes seperti ini.
“Azizulhasni juga yakin dan bersetuju dengan pemilihan Dr. Almeida setelah melalui sesi konsultasi serta perbincangan mendalam dengan Dr. Almeida, Dr. Jeffrey dan pihak ISN.
“Buat masa ini, Azizulhasni sedang berehat di rumah beliau di Melbourne di bawah pemantauan pasukan perubatan di Australia,” ujarnya.
Pada masa yang sama, pasukan pakar perubatan sukan ISN dan pakar kardiologi sukan IJN sedang memperhalusi beberapa kriteria serta elemen penting dalam merangka program pemulihan Azizulhasni yang turut meliputi sokongan perkhidmatan sains sukan.
“Antara elemen penting dalam program pemulihan adalah kesediaan latihan, pemulihan jantung (cardiac rehabilitation), pemakanan pemulihan, sokongan keluarga, perubahan corak latihan selepas post-surgery dan juga koordinasi program pemulihan antara pakar jantung, pegawai suaian fizikal dan jurulatih.”