KEKUATAN jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam arena bola sepak tempatan dan serantau tidak boleh disangkal lagi menerusi kejayaan mereka di dalam dan di luar padang.
Atas sebab inilah UNICEF memilih JDT sebagai ejen perubahan untuk membantu kanak-kanak selaras dengan misi organisasi mereka yang memperjuangkan hak kanak-kanak di seluruh dunia.
Selain itu, UNICEF juga percaya JDT mampu meluaskan kuasa kempen kesedaran terhadap kanak-kanak dan pelbagai lagi kempen berkaitan keibubapaan ini bukan sahaja di Johor malah di seluruh negara.
Menjawab soalan FLASH SUKAN secara eksklusif, Timbalan Perwakilan UNICEF ke Malaysia, Christopher Davids berkata bahawa semua di JDT faham akan pengaruh positif yang mampu diberikan kepada kanak-kanak dan keluarga.
“JDT telah menjadi juara yang hebat buat kanak-kanak sejak dua tahun lalu apabila kami memulakan kerjasama. Para pemain, pihak stadium dan pengurusan kelab mengerti pengaruh positif yang mampu mereka berikan kepada kanak-kanak dan keluarga.
“Kami percaya sokongan kelab ini dalam mempromosi kempen keibubapaan yang positif, pengambilan pemakanan yang sihat dan menghentikan keganasan terhadap kanak-kanak akan memberikan impak yang kukuh kepada penduduk dan negeri Johor dan juga kepada seluruh negara,” katanya.
UNICEF juga menganggap Stadium Sultan Ibrahim sebagai salah satu tempat yang ideal buat keluarga untuk datang mengisi masa bersama-sama sambil menonton perlawanan bola sepak dan beriadah.
“Stadium JDT adalah satu tempat yang ideal buat keluarga untuk datang bersama-sama bagi meraikan sesuatu acara. Ini yang kami semua dapat saksikan sendiri ketika perlawanan menentang Kelantan FC tempoh hari dengan para penyokong dan keluarga masing-masing datang ke stadium dengan berpakaian biru sebagai tanda meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia,” tambahnya lagi.
Elemen ‘Go Blue’, komponen terpenting dalam mana-mana sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia telah ditampilkan dengan baik oleh JDT dengan Stadium Sultan Ibrahim diterangi lampu biru dan kanak-kanak yang menemani para pemain ke padang memakai baju ‘UNICEF’s World Children’s Day’ selain wajah dan dahi mereka dihiasi lukisan muka berwarna biru — warna rasmi JDT dan UNICEF.