PEMBANGUNAN sukan negara memerlukan penggemblengan usaha daripada semua kementerian dalam membangunkan potensi sukan.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menggesa lebih banyak syarikat korporat bersama-sama membantu kerana peranan Kementerian Belia dan Sukan sahaja tidak cukup dalam merancakkan pembangunan sukan negara.

“Kementerian masing-masing tidak boleh gerak sendiri dan perlu wujudkan lebih banyak koordinasi di antara kementerian.

“Seperti contoh, you must talk to Ministry of Finance and bring all partners together if you are looking at tax relief, if you are looking at education you must get Ministry of Higher Education to get involved too and not just Ministry of Education,” katanya, ketika menghadiri  majlis pelancaran kejohanan Siri Trek Yayasan Sime Darby (YSDTS) di Velodrom Nasional, Nilai.

Hannah menyambut baik inisiatif YSD yang bekerjasama dengan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) menjayakan YSDTS yang menyediakan platform untuk meneroka bakat baharu sukan berbasikal trek negara.

Malah Hannah turut mahu melihat lebih banyak kejohanan sukan tempatan membuka peluang kepada golongan wanita bertanding bagi mereka mempamerkan bakat dimiliki.

“Sebagai menteri wanita, ini (penglibatan lebih ramai wanita) adalah salah satu aspek yang saya akan perhati and teliti,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata akan mengadakan perjumpaan bersama atlet, pemegang taruh dan persatuan sukan dalam satu mesyuarat ‘townhall’ minggu depan.