PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berbangga dengan kesungguhan yang dipamerkan anak-anak buahnya meskipun berhadapan situasi sukar ketika menang keatas Kelantan United FC 2-0 dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

JDT terpaksa menunggu hingga 15 minit terakhir perlawanan sebelum berjaya merobek gawang Kijang Hijau menerusi jaringan Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva ketika Solari merehatkan ramai pemain utama sebagai langkah penggiliran pemain.

“Saya mahu ucapkan tahniah kepada para pemain kerana ianya bukan mudah untuk memberikan komitmen sepenuhnya selepas menempuh perjalanan hampir 20 jam dari Korea Selatan ditambah aksi yang cukup sukar menentang Ulsan Hyundai.

“Pemain memberikan komitmen luar biasa meskipun bermain dalam keadaan padang yang kurang baik. Kami melakukan percubaan tepat sebanyak 20 kali tetapi kami sabar dan percaya gol akan tiba dan akhirnya kami berjaya jaringkan dua gol.

“Kami mempunyai situasi yang berbeza dengan setiap pemain sebagai contoh, Matt Davies dan Corbin Ong tidak mempunyai satu hari rehat sejak dari kem kebangsaan dan ianya penting buat mereka untuk berehat bukan sahaja fizikal tetapi mental,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari juga menegaskan bahawa di JDT mereka menganggap kesemua perlawanan umpama perlawanan akhir kerana mereka sentiasa perlu memberikan yang terbaik atas tuntutan yang ditetapkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Semua pemain mahu beraksi 90 minit tetapi kami tidak boleh meletakkan risiko kepada mereka. Ini bukanlah alasan untuk tidak beraksi dengan baik tetapi ianya adalah perkara yang perlu diberikan perhatian kerana kesemua pemain sedar akan tahap kesukaran perlawanan ini.

“Setiap hari kami mahu menjadi versi terbaik dan menganggap semua perlawanan umpama final kerana bos kami, TMJ sentiasa mahukan kelab ini bukan sahaja menjadi yang terbaik di liga tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Solari dan barisan kejurulatihan kini bakal menumpukan perhatian kepada aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia menentang Perak FC dengan JDT berkelebihan tiga jaringan sebelum bertemu Ulsan Hyundai dalam Liga Juara-Juara AFC, yang menyaksikan Harimau Selatan kembali beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.