PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ‘turun padang’ melihat persiapan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya menjelang pertembungan pertama di laman sendiri selepas tempoh dua setengah tahun tanpa aksi.

Hamidin menganggap prestasi dalam dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Brunei, Jumaat ini dan Hong Kong, 1 Jun ini menjadi pemangkin pretasi pemain menjelang saingan sebenar Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

“Perlawanan ini, persahabatan mahupun pertembungan Kelayakan Piala Asia penting, bukan sahaja ia dinantikan penyokong yang sudah sekian lama rindukan aksi Harimau Malaya di laman sendiri tetapi ia adalah pencetus kepada sentuhan pertama jurulatih Kim Pan-gon.

“Berdasarkan pemantauan hari ini saya lihat pemain begitu bersemangat dan komited untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

“Dilihat juga setiap pemain mahu membuktikan sesuatu dalam memastikan mereka berada dalam radar Kim Pan-gon,” ujar Hamidin pada Selasa.

Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Brunei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat ini akan bermula jam 9.00 malam. Tiket RM30 dewasa dan RM7 kanak-kanak sudah boleh dibeli secara dalam talian di www.tickethotline.com.my.