PENGURUS Pasukan Kebangsaan Bawah 17 Tahun (B-17) Cristopher Raj menjelaskan pasukan Harimau Malaya B-17 kini mula dipandang dunia kerana berjaya mencipta sejarah melayakkan diri ke Piala Asia Bawah 17 Tahun.

Kini, misi ke pusingan akhir Piala Asia 2023 telah pun direalisasikan seluruh barisan pemain dan kejurulatihan pasukan Kebangsaan Bawah-17.

Tambah Christopher, peluang bermain di Piala Asia perlu dimanfaatkan sepenuhnya skuad muda negara kerana ia bakal memperlihatkan di manakah tahap sebenar skuad Kebangsaan Bawah 17 Tahun (B-17) apabila bertemu gergasi Asia.

“Semalam saya dapat mesej daripada jurulatih Qatar, dia kata Wow Chris, saya tidak pernah jangka pasukan awak dapat ke Piala Asia.

“Mereka tidak pernah jangka, tetapi saya yakin, pasukan yakin, kesemuanya yakin kita mampu layak.

“Sasaran kita telah berjaya untuk layak ke Pusingan Akhir Piala Asia. Kita kena lawan dengan Iran, Korea, Yemen, baru kita tahu di mana sebenarnya tahap kita,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, dia turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta semua kumpulan sokongan yang menjadi tulang belakang kejayaan pasukan muda kebangsaan layak ke Piala Asia 2023.

“Saya ingin ambil peluang ini untuk berterima kasih kepada jurulatih Osmera Omaro, Presiden FAM, Datuk Hamidin.

“Tidak dilupakan juga kepada MSN (Majlis Sukan Negara), Datuk Ahmad Shapawi Ismail  dan pegawai sokongan di AMD yang sentiasa memberi sokongan.

“Jangan lupakan kepada ibu bapa. Lepas habis perlawanan, ada ramai ibu bapa yang datang ke Jakarta. Selepas tamat perlawanan menentang Indonesia, mereka mengambil pesawat yang sama pukul 3 pagi untuk ke Kuala Lumpur dan mereka berada di sini hari ini,” ujarnya.