PELUANG untuk semua stadium di Malaysia menggunakan rumput yang lebih berkualiti kini semakin cerah apabila Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menawarkan geran kepada kerajaan negeri untuk menukar rumput stadium mereka kepada rumput jenis Zeon Zoysia.

Menterinya, Hannah Yeoh memberitahu pihaknya kini sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri mengenai keputusan mereka sama ada mahu menerima geran untuk penukaran rumput padang di stadium bola sepak atau tidak.

Namun begitu geran ini hanyalah untuk penukaran padang sahaja dan tidak membabitkan kos penyelenggaraan padang yang perlu dilakukan sendiri oleh penerima geran itu.

“Dalam perjumpaan saya dengan EXCO KBS semua negeri dalam mesyuarat pertama Januari lalu, saya bagi pihak KBS telah beri cadangan naik taraf padang menerusi geran kepada semua EXCO negeri untuk mereka pilih stadium yang ingin dinaik taraf untuk rumput Zeon Zoysia.

“Naik taraf padang dibuat oleh negeri, KBS boleh bagi kos untuk menanam rumput tapi penyelenggaran perlu dilakukan oleh negeri. Jadi saya hanya akan tahu maklum balas rasmi dalam mesyuarat kedua samada mereka terima tawaran itu atau tidak,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Setakat ini hanya Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim di Iskandar Puteri sahaja yang menggunakan rumput berkualiti ini selain Stadium Nasional Bukit Jalil yang turut akan menggunakan rumput ini apabila proses baik pulih padang siap sepenuhnya pada September 2023.

Kebanyakan stadium di Malaysia masih menggunakan rumput jenis ‘cow grass’ yang kurang memuaskan dan ini dapat dilihat pada pertemuan antara Kuching City FC dan Sabah FC di mana keadaan padang sangat mengecewakan untuk perlawanan bola sepak.

Pengendali Perak, Lim Teong Kim serta pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak juga sering mengkritik keadaan padang yang tidak rata dan beralun hingga menyukarkan pemain mengagak pergerakan bola kerana lantunan yang agak kuat.

Isu ini turut mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan idea kepada Hannah bagi memastikan rumput di setiap stadium ini digantikan dengan rumput yang lebih berkualiti seperti Zeon Zoysia.

Ini bagi memastikan permukaan padang sentiasa dalam keadaan yang baik untuk permainan bola sepak yang lebih baik dan juga dapat melindungi pemain dari mengalami kecederaan.

“Tanya YB Hannah ini idea siapa. Kalau nak tunggu pemilik atau presiden kelab sampai bila-bila rumput lembu. Boleh belanja berpuluh juta setiap tahun tetapi padang RM900 ribu tak boleh buat,” tulis Tunku Ismail di ruangan komen sebuah laman sukan.

Ianya mendapat balasan daripada Hannah sendiri yang bersetuju dengan kenyataan Tunku Ismail yang mahukan lebih banyak lapangan berkualiti di seluruh negara.

“Betul ini idea TMJ untuk mencadangkan lebih banyak stadium di seluruh Malaysia mempunyai padang rumput yang bekualiti,” tulis Hannah dalam balasan itu.

Perkara ini perlu diberikan perhatian oleh semua Exco KBS negeri kerana ianya bukan sahaja membantu kelab bola sepak tetapi juga menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai lapangan bola sepak berkualiti di rantau ini.