PERJALANAN memeritkan dihadapi S.Prem Kumar akhirnya berbaloi apabila dia memenangi pingat emas kumite bawah 55 kilogram (kg) lelaki di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, Phnom Penh.
Masalah kecederaan, menjalani pembedahan kecil pergelangan tangan kiri, kembali berlatih di bawah jurulatih baharu dan terpaksa menurunkan berat badan untuk beraksi di bawah kategori 55kg, semuanya memberikan tekanan meskipun dia dikenali sebagai seorang karateka yang cekal.
“Ya saya menjalani latihan sambil memakai sauna vest bagi menurunkan berat badan, tangan yang masih sakit ketika berlawan… semuanya menyakitkan but my hard journey is now pay off,” kata Prem, yang sebak mengenangkan perjalanannya untuk beraksi di Sukan Sea kali ini.
Dia yang meraih pingat gangsa di Hanoi Ketika beraksi dalam kategori bawah 60kg kembali merampas pingat emas yang dimenangi pada edisi ke-19 dalam kategori bawah 55kg kali ini.
Begitupun, dia enggan terbawa-bawa dengan kemenangan itu kerana masih ada satu lagi aksi berpasukan.
Katanya, misi sebenarnya jauh masih jauh iaitu mahu fokus kepada Sukan Asia 2023 yang akan berlangsung di Hangzhou, China September depan.
“Saya lega kerana berjaya mendapatkandua mata pada saat terakhir pertarungan selepas ketinggalan 1-3,” katanya.
Perlawanan antara Prem dan wakil Thailand, Chanphet Setthaphongdberkesudahan 3-3, namun kemenangan diberi kepadanya selepas dia yang memungut mata pertama perlawanan itu.