KETUA Jurulatih Johor Darul Takzim FC, Benjamin Mora memberitahu tiga gol menerusi penyerang berbisa mereka telah meranapkan impian Selangor FC melakukan kejutan kepada Harimau Selatan.

Jelas Mora, dia sentiasa mengingatkan pemain-pemainnya agar perlu merancang untuk menjaringkan gol dan melakar kemenangan sebelum turun beraksi meskipun kadangkala keputusan tidak selalu memihak kepada pasukan mereka.

“Kita ikut pelan permainan, kita tahu kemahuan Selangor pada awal permainan. Kita cuba mengambil peluang tersebut.

“Gol Bergson, Fernando dan Leandro adalah gol menakjubkan, mereka adalah pemain yang berkualiti. Semuanya seperti yang kami rancang.

“Saya selalu menyatakan kepada pemain jika anda tidak mengharapkan kemenangan, anda tidak akan menang. Anda tidak mengharapkan membuat jaringan anda tidak akan membuat jaringan,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, Mora turut berkongsi persiapan menjelang Petaling Jaya City FC selepas ini.

“PJ City selalu akan cuba mendapat keputusan positif. Kami menjangkakan perlawanan yang sengit.

“Tiga mata berdepan Selangor ia merupakan landasan yang tepat untuk bertemu PJ City FC,” ujar Mora.

Bagaimanapun, Mora tetap mengakui pertemuan menentang PJ City FC bakal menjadi pertemuan yang sengit namun tetap optimis berada pada momentum terbaik.

Dalam pada itu, Mora sempat berkongsi bahawa JDT bakal mengambil empat pemain baharu dalam jendela perpindahan pasukan tersebut namun dia memaklumkan akan membuat kejutan kepada semua tentang pemain baharu yang bakal menyarung jersi pasukan kendaliannya itu.

“Buat masa sekarang, saya masih ada sedikit info tentang perkara tersebut namun kita akan memberikan maklumat terakhir kepada semua dan membuat kejutan bagi memantapkan pasukan,” tambahnya.