MALAYSIA dijangka menghantar kontinjen lebih besar ke Kemboja berbanding Hanoi meskipun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengutamakan atlet remaja.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, 34 jenis sukan akan disertai membabitkan kontinjen 694 atlet dan 228 pegawai serta jurulatih akan ke Kemboja, Mei depan.

Beliau berkata, semua persatuan sukan sudah menghantar senarai panjang atlet untuk ke Kemboja sebelum tarikh akhir, Ahad lalu.

Bagaimanapun katanya, senarai terakhir atlet yang akan beraksi ke temasya dwitahunan itu belum dimuktamadkan memandangkan terdapat beberapa persatuan yang masih melakukan pemilihan ketika ini.

Pengumumuman senarai akhir ke Sukan Sea akan dibuat minggu hadapan. -Setiausaha Agung MOM Datuk Nazifuddin Najib.

“Semua persatuan yang terlibat sudah menghantar senarai panjang atlet kepada kami sebelum tarikh tutup pada Ahad lalu.

“Masih ada sesetengah persatuan yang masih belum memuktamadkan senarai akhir kerana mereka masih ada kejohanan yang masih belum selesai. Jadi kita nak rekod yang terkini.

“Jadi kita akan tunggu mereka untuk hantar Jumaat ini sebelum kita umumkan senarai akhir itu pada 13 Mac,” katanya.

Untuk rekod pada temasya Sukan Sea Sea Hanoi tahun lalu, Malaysia diwakili 818 peserta membabitkan 612 atlet melibatkan 37 jenis sukan daripada 40 yang dipertandingkan.

Pada edisi itu, kontinjen negara berjaya membawa pulang 39 pingat emas mengatasi sasaran 36 emas yang ditetapkan sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan keenam di belakang tuan rumah, Vietnam yang meraih 204 emas, 121 perak dan 115 gangsa untuk muncul juara keseluruhan.