UMUM mengenali Bojan Hodak sebagai seorang jurulatih yang mempunyai sentuhan magis sejak dari awal penglibatannya dalam bola sepak terutama di Liga Malaysia apabila memenangi piala bersama Kelantan, Johor Darul Ta’zim dan Kuala Lumpur City FC.
Jurulatih kelahiran Croatia itu terkenal dengan taktikal bernas dan berjaya mengubah nasib sesebuah pasukan yang dikendalikannya dan kini magis itu terbukti sekali lagi sejak dia menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung Julai lalu.
Ketika mengambil alih Persib, kelab berpangkalan di Bandung itu bergelut di zon relegasi selepas empat perlawanan dan kini selepas mengendalikan 14 perlawanan, Persib melonjak ke tangga kedua Liga BRI Indonesia hanya satu mata dibelakang pendahulu, Borneo FC.
Dari 14 perlawanan itu, Persib menang sembilan kali, empat seri dan hanya tewas sekali kepada Persis Solo pada Ogos sekaligus menggembirakan penyokong Maung Bandung yang berpuas hati dengan tindakan pengurusan kelab melamar Bojan dari KL City.
Ketika ditemubual laman socios.com yang dikongsi laman sosial rasmi kelab, Bojan menyatakan filosofinya sebagai jurulatih adalah menang dan dia tidak kira bagaimanapun caranya asalkan kelabnya meraih kemenangan.
Jika dilihat pada filosofi permainan Bojan, dia menitik beratkan kekuatan ketika bertahan dan ini terbukti ketika dia membawa bekas kelabnya, KL City menjuarai Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala AFC 2022 dengan taktikal bertahan yang berdisiplin.
Bojan juga pernah menerima anugerah Pelatih Terbaik Pekan 15 untuk Liga Indonesia sebagai tanda kejayaannya menukar nasib kelab dari pasukan yang bergelut itu menjadi pencabar kejuaraan liga ketika ini.
Meskipun diangkat sebagai wira oleh para penyokong, namun Bojan masih merendah diri kerana menganggap perjalanan liga masih panjang dan dia hanya fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan dengan aksi seterusnya menentang Arema Malang pada 8 November.
@persib Emang boleh sesantuy itu Pak Bojan? 😅 #PERSIB #PERSIBOnTiktok