FISIOTERAPI adalah singkatan bagi fisio iaitu fisiologi yang membawa makna fizikal, dan terapi bermakna penjagaan. Fisioterapi membawa maksud penjagaan atau pemulihan kefungsian fizikal.

Di Malaysia terdapat ramai pengamal fisioterapi sukan yang berkhidmat dalam pelbagai agensi masing-masing termasuk dalam persatuan sukan bola sepak negeri.

Nasrul Tajuddin Darus, bekas Fisioterapis di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) antara individu yang merawat dan mengembalikan semula kecergasan atlet bola sepak selepas terbabit insiden kecederaan.

Anak kelahiran Jitra, Kedah itu untuk memilih menceburi kerjaya dalam bidang berkenaan sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat tawaran mengikuti Kursus Diploma Fisioterapi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Setelah itu menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Applied Rehabilitation (Physiotherapy) di University of Teesside, Middleborough UK.

.

Nasrul Tajuddin Darus

Ibarat tuah ayam nampak di kaki, rezeki manusia siapa yang tahu. Nasrul kemudian dilantik sebagai Pegawai Fisioterapi Sains Sukan FAM dan dalam tempoh itu menimba dan mengutip pengalaman di peringkat negara dan antarabangsa apabila majikan diwakilinya terbang untuk aksi perlawanan persahabatan mahupun kejohanan bertaraf dunia.

“Sebagai pengamal fisioterapi sukan, saya harus cepat dalam membuat keputusan pantas terutama sewaktu bertugas untuk sesuatu perlawanan.

“Contohnya, ketika atlet atau pemain mengalami kecederaan semasa beraksi, pegawai fisioterapi perlu menilai tahap kecederaan tersebut dan membuat keputusan dalam kadar segera sama ada atlet itu boleh meneruskan permainan atau dia perlu diganti dengan pemain lain,” kongsinya bersama Flash Sukan.

Miliki hubungan yang baik dengan atlet, kepakaran Nasrul tetap ‘dicari’ untuk menerima rawatan meskipun telah lama berhenti tugas di Wisma FAM dan kini mengendalikan sendiri pusat rehabilitasi yang diberi nama, AN NAS Rehab Centre, yang beroperasi di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.

“Betul, kami seorang fisioterapi juga perlu menjalin hubungan yang rapat dengan atlet bagi membentuk kerjasama yang baik antara mereka. Secara tidak langsung dapat memudahkan mereka mengadu sebarang masalah yang dialami tanpa sebarang halangan,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.

An Nas Rehab Centre menerima kunjungan Zhafri Yahya untuk proses pemulihan.

Terbaru, pemain bola sepak, Zhafri Yahya berkunjung ke AN NAS Rehab Centre bagi mendapat pemulihan sehari sebelum perlawanan Liga Super Kuala Lumpur City FC menentang Melaka United, minggu lepas dan minggu sebelum itu bekas pemain Harimau Malaya, Harimau Muda, Kedah, Negeri Sembilan dan PDRM iaitu Shakir Ali turut menerima rawatan di AN NAS Rehab Centre.

Tidak ketinggalan artis, Rita Rudaini, Mak Jah, Den Wahab, pengarah filem / drama Rashid Sibir, pengulas sukan Tabah Syazwan, bekas pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) suatu ketika dahulu Omar Abdullah, para agamawan, masyarakat setempat dan penulis sendiri.

Dalam pada itu, Nasrul memaklumkan konsep caj rawatan di AN NAS Rehab Centre berbeza dari pusat-pusat fisioterapi dan rehabilitasi yang lain kerana caj rawatan yang dikenakan adalah seikhlas hati. Tiada sebarang caj yang khusus kepada jenis-jenis kecederaan.

“Jangan risau juga berkenaan cara pembayaran kerana boleh dibayar secara tunai mahupun transaksi secara atas talian,” tambahnya.