PENYERANG import Perak FC, Seo Seonung sah meninggalkan pasukan Perak setelah beraksi dengan penuh gigih bersama pasukannya selama satu musim (2023).

Pemain kelahiran Korea Selatan ini telah memuat naik satu hantaran ke dalam laman media sosial Instagram yang menyatakan bahawa dirinya tidak bersama skuad The Bos Gaurus untuk aksi saingan musim ini.

Perak FC bagaimanapun pastinya telah mencatur strategi dari segi pemain untuk menggantikan watak dan kehebatan yang ada pada pemain muda berusia 23 tahun itu.

“Saya telah memutuskan untuk mengakhiri karier saya bersama pasukan ini (Perak FC).

“Musim pertama saya di Malaysia amat menakjubkan dan mengagumkan berkat daripada semua penyokong dan pemain.

“Kepada para peminat, terima kasih kerana sudi hadir ke stadium untuk menyokong dan menonton perlawanan kami. Saya juga ada melihat bendera Korea berkibar, itu sungguh luar biasa.

“Kepada pasukan, staf dan barisan jurulatih pula, terima kasih kerana menyambut kedatangan saya dengan baik dan menjadi rakan sepasukan yang bagus. Saya sangat gembira dapat bermain di Perak, terima kasih Perak!,” ujar Seo dalam kenyataan di Instagram.

Susulan kirimannya itu, dilihat beberapa pemain Perak FC dan juga penyokong-penyokong melontarkan kata-kata semangat buat pemain Korea itu.

Perpisahan Seo bersama skuad TBG boleh dianggap sebagai satu kehilangan yang agak besar kerana dirinya merupakan seorang pemain yang cemerlang sejurus menampilkan aksi bersungguh-sungguh sepanjang kariernya bersama Perak.

Buktinya, Seo berjaya merekodkan lapan jaringan dalam keseluruhan 17 perlawanan yang dia sertai termasuk satu daripadanya adalah saingan domestik, Piala Malaysia.