SATU lagi kematian wartawan di Qatar menjadikan tiga semuanya.
Kali ini seorang pengarah teknikal ITV Sport, Roger Pearce disahkan meninggal dunia pada 21 November lalu dan diumumkan siaran TV itu sebelum perlawanan antara Wales dengan Amerika Syarikat (AS).
Sebelum ini, wartawan berpengalaman AS, Grant Wahl dan wartawan foto Qatar, Khalid al-Misslam meninggal dunia ketika membuat liputan acara bola sepak paling berprestij itu.
“Kami ada berita sedih buat anda dari Qatar,” kata pengacara Mark Pougatch.
“Pengarah teknikal kami, Roger Pearce, yang berada di sini bagi Piala Dunia kali kelapan, meninggal dunia. Roger seorang yang dihormati dalam industri penyiaran sukan, bagi ITV beliau berperanan merancang logistik dan liputan Piala Dunia Ragbi, Piala Dunia bola sepak dan Kejohanan Eropah,” kata pengacara itu.
Berita itu menjadi topik hangat susulan kematian dua lagi wartawan di Qatar.
Pearce, 65, memulakan kariernya sebagai jurutera di Grampian TV dan pernah bekerja dengan saluran TV lain seperti TVS dan Meridian, sebelum menyertai saluran sukan ITV secara sepenuh masa pada 2001 dan menjadi pengarah teknikal pada 2008.
Seperti dijelaskan wartawan BBC, Neil Stainsby yang juga sahabat karib Pearce, pengarah teknikal ITV itu akan bersara dalam tempoh lima minggu lagi.
Sementara itu, mayat Wahl sudah dihantar pulang ke AS semalam.
Eric Wahl, adik wartawan itu menyatakan di laman sosial, Grant menerima ancaman bunuh dan mendakwa dia mungkin dibunuh tetapi kemudian menarik balik kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN : Al Misslam wartawan kedua maut semasa membuat liputan Piala Dunia Qatar
Wahl, seorang wartawan bola sepak berpengaruh di AS, meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 48 tahun ketika membuat liputan aksi suku akhir Piala Dunia antara Argentina dengan Belanda.
Punca sebenar kematiannya belum diketahui hingga kini. Dalam blognya, Wahl menjelaskan minggu lalu dia mengalami sedikit masalah kesihatan sejak akhir-akhir ini dan dia menerima rawatan bronkitis di Qatar. – AGENSI