BEKAS pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia.
Ia susulan tindakan Yazan Al-Arab yang dilihat menyepak pengadil Mohd Hasrol Mohd Amir ketika aksi perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia Selangor FC bertemu Terengganu FC di Stadium MBPJ pada September lepas.
Pemain kelahiran Jordan itu dilayangkan kad merah oleh pengadil namun dia tidak berpuas hati dan menyepak bahagian belakang Mohd Hasnol.
“Yazan bersalah kerana melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata kepada Pengadil Perlawanan dan apabila Pengadil Perlawanan memusingkan badan untuk pergi, pemain ini telah menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 1).
“Dan apabila setelah dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan telah meludah ke arah Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 2) semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan di FAM hari ini.
Sebagai hukuman, pemain itu digantung empat perlawanan bagi Pertuduhan 1 dan digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia bagi Pertuduhan 2.
“Walau bagaimanapun Jawatankuasa ini telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 43 Kod Tatatertib FAM di mana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran yang berkait, Jawatankuasa ini boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius yang dilakukan sahaja dan, bergantung kepada keadaan, boleh meningkatkan lagi hukuman tersebut,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : Selangor FC tamatkan kontrak Yazan Al-Arab serta-merta
Justeru, hukuman yang dikenakan terhadap pemain ini bagi perlanggaran-perlanggaran di atas secara keseluruhannya adalah dihukum penggantungan seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang Aktiviti Bola Sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia.
“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya.