PEMAIN pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab meminta maaf dan menyesal atas insiden yang menyaksikan dia mungkin dikenakan hukuman keras selepas menendang pengadil selepas dilayangkan kad merah ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.
Dia yang memuat naik hantaran di laman sosial peribadinya mengakui dia bertindak demikian kerana keadaan hangat yang berlaku ketika perlawanan serta beberapa perkara peribadi yang turut menggangu emosinya ketika itu.
Dia juga mahu menjadikan insiden ini sebagai pengajaran dan akan cuba menjadi pemain yang lebih baik di masa akan datang serta meminta maaf kepada seluruh sistem bola sepak Malaysia dan Jordan.
“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya memohon maaf atas aksi saya pada perlawanan lalu dan akan mengambilnya sebagai pengajaran untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN : Sepak Pengadil: “Tamatkan kontrak, hantar dia balik elok-elok”
“Saya minta maaf pada pasukan jika tindakan saya menjatuhkan moral anda dan maaf juga pada penyokong The Red Giants kerana menghampakan kalian. Keadaan sangat hangat ketika itu dan saya menyesalinya,” tulisnya dalam hantaran itu.
Sementara itu pengurusan Selangor FC menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihak kelab sudah berkomunikasi dengan Yazan dan segala tindakan yang mungkin dikenakan ke atasnya akan dibincangkan secara profesional bersama barisan kejurulatihan.
“Kelab sudah berkomunikasi dengan Yazan dan dia sendiri telah memuat naik hantaran di media sosial peribadinya dan apa yang boleh saya katakan adalah dia tahu dia boleh lakukan perkara yang lebih baik dan dia komited untuk menjadi lebih baik selepas ini.
“Sama ada dia akan dikekalkan dalam pasukan ke Terengganu, perkara ini masih dalam perbincangan dengan barisan kejurulatihan kerana kita tahu apa yang berlaku dan kita di pihak kelab perlu mengambil langkah professional.
ARTIKEL BERKAITAN : FAM tunggu laporan Jawatankuasa Penilai Pengadil insiden ‘panas’ di Kelana Jaya
“Ini kerana sekarang ini emosinya masih tidak stabil dan perlukan keadaan lebih tenang untuk kita berbincang dan apa yang penting dia sedar dengan tindakannya,” katanya ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian Strategik antara Selangor FC dan Khind di Shah Alam pada Rabu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata sebelum ini bahawa pihaknya akan menilai terlebih dahulu insiden yang berlaku sebelum sebarang keputusan dibuat.