PERBURUAN emas skuad takraw negara dalam acara regu berpasukan Sukan Asia 2022, hampir tersasar biarpun berjaya mengatasi Indonesia 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B pada Isnin.

Ini berikutan regu pertama negara tewas dalam straight set sebelum anak buah Ahmad Jais bangkit menerusi regu kedua dan regu ketiga pada aksi di Gimnasium Sukan Jinhua itu.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menempah slot ke separuh akhir dan akan menentang Korea Selatan, bagi menentukan juara kumpulan selepas mereka turut meraih kemenangan 2-1 ke atas Indonesia, semalam.

Terdahulu, regu pertama negara yang dibarisi Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, gagal memberi saingan apabila tewas 15-21, 19-21 dalam tempoh 54 minit di tangan lawan dibarisi Jelki Ladada, Saputra Andi Try Sandi dan Akmal Syamsul.

Regu kedua negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Hairul Haidzir tewas 20-22 pada set pertama namun bangkit meraih kemenangan 21-17 pada set kedua.

Skuad negara mengesahkan mata pertama menerusi kemenangan 23-21 pada set ketiga ke atas regu Indonesia yang dibarisi Rijal Saiful, Muliang Muhammad Hardiansyah serta Victoria Eka Praseyo dalam tempoh 107 minit.

Mata kemenangan disumbangkan regu ketiga yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam selepas menumbangkan Dikyapriadi, Budiyanto Anwar, Setiawan Dedi menerusi keputusan 21-10, 21-12 dalam masa 39 minit.

Ahmad Jais mengakui pemainnya belum mencapai tahap prestasi terbaik sehingga bergelut pada aksi pertama.

“Kita bersyukur dengan kemenangan ini tetapi prestasi pemain belum mencapai di tahap yang kita harapkan. Kita banyak melakukan kesilapan mudah daripada segi rejaman, hantaran dan kawalan bola.

“Jadi banyak lagi yang perlu ditingkatkan daripada perlawanan hari ini (semalam) untuk berdepan Korea Selatan esok (hari ini),” katanya.