PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak secara jujur mengakui kesilapan mudah yang dilakukan barisan pemainnya menjadi salah satu faktor pasukannya tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Selasa.
Selain itu dia turut mengakui sepakan penalti yang diperolehi JDT di awal separuh masa kedua telah melemahkan semangat pemainnya dan menjadi punca mereka tewas 3-1 meskipun mendahului dan mempunyai kelebihan seorang pemain.
Aidil turut berterima kasih kepada para penyokong yang hadir dan menggesa mereka untuk terus hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada Kedah dalam perlawanan selepas ini.
⚔ FULL TIME ⚔
FT | KDA FC 1 – 3 JDT FC
⚽ 13' R. Ngah Wanja (KDA FC)
⚽ 36' Bergson (JDT FC)
⚽ 60' Leandro (JDT FC)
⚽ 79' Afiq Fazail (JDT FC)#KDAFC #PulunKedahPulun #SangKenari #BiarJasaJadiKenangan #2022season #ligasuper2022 #KDAJDT pic.twitter.com/9PoJ53qnuk— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) October 4, 2022
“Kami berjaya mengimbangi permainan pada separuh masa pertama tetapi apabila mereka dihadiahkan penalti pada awal separuh masa kedua ia nyata melemahkan semangat pemain saya dan gol ketiga juga berpunca daripada kesilapan sendiri.
“Jika mereka tidak mendapat gol kedua, saya percaya ia akan menjadi perlawanan yang berbeza tetapi apabila bertemu pasukan seperti JDT, anda tidak boleh melakukan kesilapan mudah kerana anda pasti akan dihukum namun saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain Kedah.
“Saya sangat hargai para penyokong yang hadir kerana seperti yang saya kata sebelum ini bola sepak tiada apa tanpa penyokong. Pemain juga memberikan aksi lebih baik pada separuh masa pertama dan saya harap penyokong akan terus datang menyokong kami dalam perlawanan selepas ini dan Piala Malaysia,” kata Aidil dalam sidang media selepas perlawanan.
Menjawab soalan mengenai peluang di Piala Malaysia, Aidil tetap akan memberikan peluang kepada pemain muda selain menggunakan barisan pemain sedia ada bagi memastikan pemain-pemain muda ini mendapat minit permainan dan pengalaman berharga bagi menghadapi liga musim hadapan.
“Kami akan gunakan apa yang ada dalam pasukan untuk menghadapi Piala Malaysia dan kita perlu akui Kedah tidak berada pada kedudukan terbaik dalam liga dan kami akan cuba lakukan yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.
Berbaki tiga perlawanan menentang Negeri Sembilan, JDT dan Terengganu, peluang Kedah untuk sekali lagi beraksi di pentas Asia musim hadapan semakin samar namun Kedah masih mempunyai masa depan yang cerah dengan prospek pemain muda yang berkualiti.