PELUMBA Ducati Lenovo Team, Enea Bastianini mempamerkan tunggangan bergaya pada hari kedua Ujian Pra Musim MotoGP 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang sekali gus memecahkan rekod sepusingan terpantas litar itu.
Bastianini mencatat masa 1 minit 57.134 saat yang mengatasi masa petak hadapan yang dihasilkan Pecco Bagnaia musim lalu untuk terus membuktikan Malaysia adalah hak milik Ducati.
Jorge Martin dari Prima Pramac Racing yang mencatat masa terpantas pada hari pertama terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas mendahului pada majoriti sesi ujian hari kedua, ketinggalan hanya 0.139 saat manakala pelumba KTM dan Aprilia, Brad Binder dan Aleix Espargaro ketiga dan keempat terpantas.
The Beast was cooking! 🔥🔥🔥 @Bestia23 tops Day 2 with the fastest-ever lap around Sepang 🔝#SepangTest ⏱️ pic.twitter.com/l5ihgPQikJ
— MotoGP™🏁 (@MotoGP) February 7, 2024
Selepas agak sunyi pada hari pertama, juara dunia, Pecco Bagnaia akhirnya kembali ke hadapan dengan catatan masa kelima terpantas ketinggalan 0.3 saat di belakang rakan sepasukannya.
Enea yang ditemui selepas tamat sesi berkata dia gembira dengan perkembangan jenteranya namun masih banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum bermula musim 2024 di Grand Prix Qatar pada Mac.
“Saya gembira dengan hari kedua ujian ini walaupun berdepan sedikit masalah pada sebelah pagi. Pada sebelah petang, pasukan berjaya mengatasi masalah itu serta menggunakan beberapa peralatan baharu sekali gus menghasilkan satu pusingan yang baik.
“Jentera 2024 ini lebih baik berbanding 2023 dan kami perlu pastikan jentera berada pada tahap terbaik sebelum ke Qatar dan keputusan hari ini memberikan keyakinan buat pasukan.
“Masih banyak perkara yang perlu dilakukan pada Khamis tetapi kami perlu lebih berehat kerana keadaan di sini sangat panas dan sukar buat semua dan kami akan lakukan lebih banyak ujian pada sesi sebelah pagi,” katanya.
Kesemua pelumba bakal melengkapkan hari ketiga dan terakhir ujian pra musim MotoGP pada Khamis dengan setiap pasukan cuba mendapatkan set up terbaik bagi memastikan mereka bersedia mengharungi musim baharu yang lebih mencabar.