SKRIP separuh akhir Piala FA 2022 kembali berulang apabila Selangor FC sekali lagi bakal membuat perhitungan dengan kuasa besar Pantai Timur, Terengganu FC dalam aksi pertama yang dijadualkan berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya Rabu malam.
Gergasi Merah bakal hadir dengan barisan yang diyakini mampu mencabar pasukan pelawat.
Andai corak permainan bertemu Negeri Sembilan dibawa dalam perlawanan bertemu Terengganu FC, segalanya tidak mustahil buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Berbekalkan kelibat beberapa pemain yang boleh dianggap kunci utama untuk Selangor FC iaitu Sharul Nazeem Zulpakar, Yazan Al-Arab dan Quentin Cheng di bahagian pertahanan, perlu lebih berdisiplin mengekang asakan trio berbisa Terengganu FC, Kpah Sherman, Manuel Ott dan Tchetche Kipre.
Manakala Terengganu FC pula pastinya berada dalam momentum terbaik mengekalkan kesebelasan utama ketika bertemu pasukan Kuala Lumpur City FC dalam saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia sebelum ini.
Skuad Penyu nyata memiliki senjata ampuh bagi meranapkan impian tuan rumah apabila kesemua posisi, antaranya dibarisi Azam Azmi Murad serta Pape Diakite di bahagian pertahanan, kelibat Manuel Ott serta Habib Haroon juga bakal melunaskan segala hasrat Terengganu bagi membawa bekalan selesa ke Stadium Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Melihat kepada rekod pertemuan atas kertas, segalanya tampak mudah bagi Terengganu yang menang kelima-lima pertemuan bertemu Selangor sebelum ini.
Namun, rekod clean sheet pasukan Selangor yang dijelmakan jurulatih, Tan Cheng Hoe itu sedikit menimbulkan kegusaran tentang sebarang keajaiban yang berkemungkinan berjaya dicetuskan pasukan tuan rumah di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Selangor FC telah bertemu Terengganu FC sebanyak lima kali di peringkat separuh akhir Piala Malaysia – 1966, 1969, 1972, 2005 dan 2011.