LEBIH 30,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) bagi aksi separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan KL City FC, Ahad ini.

Jumlah itu mengambil kira 15,000 tiket dalam talian telah habis terjual sejak kelmarin manakala 15,000 keping lagi akan mula dijual secara fizikal di stadium bermula esok sehingga hari perlawanan

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, 400 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di SSMZA bagi memastikan kelancaran perlawanan.

Menurut beliau, penonton diingatkan agar mematuhi garis panduan kawalan keselamatan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Penonton dilarang membawa masuk barang terlarang ke dalam stadium seperti mercun, bunga api atau suar, topi keledar, pemetik api serta objek tajam yang berbahaya.

“Selain itu, penonton diingatkan tidak menimbulkan kekecohan termasuk berbentuk provokasi sebelum, semasa dan selepas perlawanan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, pihak polis tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas termasuk menggunakan saluran undang-undang terhadap mereka yang ditangkap melakukan kekacauan.

Selain itu, tambah beliau lagi, unit polis trafik turut akan ditempatkan bertujuan penyuraian aliran trafik dan mengawal kesesakan di sekitar perkarangan stadium berkenaan.

“Penugasan pegawai dan anggota ini bagi mengawal ketenteraman orang awam selain mengelak berlaku kejadian tidak diingini di dalam dan luar stadium,” jelas beliau.