PENYANDANG kejuaraan ragbi paling berprestij tanah air, Terengganu kekal menepati ramalan untuk terus melangkah ke pusingan separuh akhir kejohanan Piala Agong edisi ke-38 musim ini setelah menafikan Perlis berkeputusan 49 berbalas 32 di Stadium Pangkalan Udara Subang, Shah Alam pada Sabtu.

Namun ianya bukan laluan mudah diberikan oleh Perlis selaku pasukan bukan pilihan musim ini yang berjaya membuat kejutan untuk mara ke penentuan suku akhir setelah 12 tahun tidak berbuat sedemikian.

Namun sebelum itu, ternyata Perlis yang hadir dengan momentum tersendiri ternyata tidak memberi laluan mudah untuk dibelasah setelah apabila sering kali mampu memberi tekanan untuk merapatkan jurang kutipan mata.

Situasi ini secara tidak langsung memaksa Terengganu bekerja keras sehingga minit ke-16 untuk lima mata pertama melalui jatuhan try yang berjaya ditebuk oleh Muhammad Halim Abu Kassim namun gagal untuk melengkapkan lagi dua mata melalui tendangan conversion.

Terengganu yang mendahului 29-13 pada separuh masa pertama terpaksa melakukan beberapa pertukaran taktikal untuk aksi separuh masa kedua setelah Perlis mengasak padu sehinggakan kedua-dua pasukan menerima layangan kad kuning serentak untuk dihantar ke luar padang pada minit ke-67 permainan.

Penguasaan padang mula memihak kepada Terengganu dengan beberapa jatuhan try dan mata melalui tendangan conversion berjaya diterjemahkan sekaligus menoktahkan Terengganu berkeputusan 49-32 untuk mara ke perlawanan separuh akhir bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 30 November nanti di Stadium Pangkalan Udara Subang, Shah Alam.

“Walaupun Perlis merupakan pasukan ‘underdog’ musim ini yang membuat kejutan untuk mara ke suku akhir, dengan tempoh dua minggu tiada perlawanan pada setiap pasukan untuk memberi laluan pada PRU ke 15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) baru-baru ini kita boleh melihat yang Perlis sememangnya mengandakan usaha persiapan pasukan untuk perlawan hari ini.

“Kita tidak boleh menafikan semangat keterujaan mereka layak ke suku akhir ini menjadi momentum terbaik buat mereka yang sudah pasti akan memberi tekanan sehabis mungkin buat Terengganu,” ujar pengurus pasukan Terengganu Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab yang ditemui FLASH SUKAN sejurus tamat permainan.

Manakala buat kapten pasukan Terengganu yang juga merupakan bekas kapten pasukan kebangsaan, Mohd Nasharuddin Ismail menyifatkan perlawanan peringkat suku akhir ini ternyata bukan laluan mudah buat pasukan.

“Kedua-dua pasukan beraksi dengan baik dari minit pertama sehingga minit terakhir begitu juga masing-masing terhukum dengan kesilapan masing-masing dan kredit buat kedua-kedua pasukan yang mampu menyerap tekanan perlawanan berintensiti tinggi ini.

“Kembali ke padang ini untuk bertemu ATM di separuh akhir nanti, kita boleh melihat jumlah kehadiran penyokong menjadi kelebihan buat mereka. Pada musim ini kita boleh lihat ATM hadir dengan misi tersendiri sekaligus mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik berbanding musim-musim lalu,” jelas kapten pasukan Terengganu.

Pada perlawanan ini juga yang telah berlangsung dalam cuaca yang baik, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan.

Terdahulu pada aksi peringkat kumpulan, Terengganu menewaskan Johor yang hadir selaku pasukan pilihan musim ini berkeputusan 30-17 pada perlawanan pembukaan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak 6 November lalu dan mendapat ‘bye’ setelah Kedah menarik diri di saat akhir sebelum hadir selaku pasukan pelawat untuk menewaskan Melaka di laman sendiri berkeputusan 78-3 pada 12 November lalu sebelum mara ke peringkat suku akhir.