DERETAN peluang keemasan pada babak pertama dipersiakan oleh Manchester City sekaligus akur keputusan seri 2-2 ketika bertemu Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad pada aksi lewat Ahad malam.

Kelab bimbingan Pep Guardiola dua kali mendahului permainan menerusi Kevin De Bruyne dan Gabriel Jesus tetapi Liverpool bangkit menyamakan kedudukan menerusi Diogo Jota dan Sadio Mane.

De Bruyne selepas tamat perlawanan mengakui sedikit kesal apabila City hanya berjaya menjaringkan dua gol, sedangkan boleh lebih daripada itu.

“Banyak peluang yang terbuang khususnya di babak pertama. Masuk sahaja babak kedua, kami bolos terlalu cepat dan ia mengecewakan.

“Ini perlawanan yang sukar. Sejujurnya, saya rasa kami bermain cemerlang. Cara bermain kami sangatlah bagus dan seharusnya dapat mencipta lebih banyak gol ,” ujarnya kepada Sky Sports.

Dengan hanya tujuh perlawanan berbaki, The Citizens dilihat berada di landasan terbaik untuk meraih gelaran keempatnya dalam lima musim dan peluang merangkul treble musim ini menerusi EPL, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA.